Jumlah Paparan Halaman

Ahad, 5 Jun 2011

Mengapa Ikhwanul Muslimin Mesir perlu belajar dari PAS?



Apa pun perkembangan terkini pasca-thawrah (revolusi) yang telah berlaku di Mesir, sesuatu yang tidak boleh disangkal ialah peranan yang bakal dimainkan oleh pertubuhan Ikhwanul Muslimin (IM) di dalam lanskap baru politik Mesir. Walaupun mereka menolak untuk bertanding di dalam pemilihan presiden dan juga menolak kemungkinan untuk mendapatkan majoriti di dalam parlimen Mesir menjelang pilihanraya umum yang akan diadakan, sesuatu yang hampir pasti, sesiapa pun yang akan memerintah Mesir nanti, IM hampir pasti menjadi sebahagian darinya. Memandangkan kebanyakan parti politik di Mesir mempunyai keterbatasan masing-masing dari segi saiz dan sokongan rakyat, tidak dapat tidak, kerajaan baru yang akan dibentuk pasti merupakan kerajaan koalisi. Apapun koalisinya, sesuatu yang pasti IM pasti akan menjadi sebahagian daripada koalisi tersebut. Ibarat perumpamaan Inggeris, IM pasti akan menjadi ‘sausage in the hotdog’ atau ‘beef in the plate’. Demi menempuh realiti yang bakal menjelang nanti, IM perlu belajar dari pengalaman gerakan Islam lain, terutamanya di dalam hal berkoalisi, mentadbir dan juga hubungan dengan non-Muslim. Meskipun sesetengah tokoh IM sibuk merujuk kepada pengalaman Turki, namun sebuah lagi gerakan Islam yang tidak kurang dinamisme dan pengalaman di dalam persada politik yang tidak patut diketepikan, iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Walaupun usia IM di dalam persada dakwah lebih lama dari PAS, dan IM juga pernah menyertai politik dan parlimen Mesir sebagai blok pembangkang, namun hakikatnya ialah IM masih kurang dar segi pengalaman berkoalisi untuk memerintah, apatah lagi mentadbir sebuah kerajaan berbanding dengan PAS. Di sinilah terletak kekuatan PAS yang perlu dikongsikan kepada ‘senior’ mereka untuk IM menempuh hari-hari mendatang di bumi Mesir. Realiti di dalam persada politik ialah, IM perlu belajar dari PAS yang lebih banyak makan garam dan telah merasakan jatuh bangun di dalam arena politik kebangsaan.

Sebagai contoh, PAS mempunyai pengalaman yang banyak dalam berkoalisi dengan pihak lain, hatta dengan seteru politik sekalipun semenjak ia ditubuhkan. Dari sudut yang lain pula, sejarah Malaysia telah menyaksikan bahawa PAS pernah berkoalisi dengan Perikatan di dalam kerajaan yang memerintah. Di dalam blok pembangkang pula, PAS pernah melalui zaman Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk berkoalisi dengan golongan nasionalis Semangat 46 dan beberapa parti lain pada era-90’an. PAS juga pernah berkoalisi dengan Parti keADILan dan juga DAP di dalam Barisan Alternatif (BA) pasca-reformasi 1998. Terkini, PAS merupakan rakan koalisi aktif di dalam blok pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang telah menyebabkan tsunami politik yang melanda tanahair pada PRU ke-12, 2008, dan kini sedang mempersiapkan diri untuk memenangi PRU ke-13 sekaligus memerintah Malaysia.

Dari segi pengalaman memerintah dan mentadbir pula, walaupun PAS belum pernah memerintah Malaysia, namun PAS mempunyai pengalaman yang lama di dalam mentadbir dan memerintah negeri Kelantan. Di dalam waktu yang sama, kejayaan PAS memerintah Terengganu dan kegagalan mempertahankannya merupakan pengalaman berharga yang wajib dijadikan iktibar bagi IM. Kini, kemampuan dan juga keunikan PAS di dalam mentadbir negeri Kedah dan memajukannya berbanding tahun-tahun malap Kedah di bawah pemerintahan BN juga merupakan kajian kes yang perlu dipelajari oleh IM di Mesir.

Selain dari kekuatan serta pengalaman PAS yang telah disebutkan, PAS juga berpengalaman di dalam merangka manifesto dan belanjawan negara bersama yang lebih realistik untuk sebuah negara dalam kerangka politik jamak budaya, jamak agama seperti Manifesto BA, belanjawan alternatif dan mutakhir ini, Buku Jingga. Kemampuan PAS ini jika dinilai secara objektif, adalah jauh lebih komprehensif daripada manifesto politik IM tahun 2007 yang pernah menimbulkan kontroversi.

PAS juga dewasa ini telah menunjukkan sikap yang luar biasa di dalam pengupayaan wanita serta isu kepimpinan wanita. Selain daripada itu, PAS juga mempunyai ahli professional yang berpengalaman di luar dan dalam negara di kalangan para pimpinan professional, serta mempunyai jaringan hubungan dengan pihak non-Islamis yang berminat dengan pendekatan sederhana beberapa tokoh PAS. Sesetengah calon PAS juga telah membuktikan kredebiliti dan kemampuan mereka untuk meraih keyakinan non-Muslim di dalam PRU ke-12 (2008) yang lalu dengan memenangi kerusi di kawasan ramai non-Muslim seperti Dato Seri Nizar, YB Dr Mariah, YB Dr Dzulkifli, YB Dr Halimah dan lain-lain lagi. Keberadaan golongan ‘mualaf’ (saudara kita) sebagai wakil PAS seperti YB Khalil Idham Lim dan Anuar Tan juga merupakan satu pendekatan yang boleh dipelajari oleh ramai pihak.

IM perlu mempelajari ini semua dan disesuaikan dengan situasi baru di Mesir kini. IM perlu menerima hakikat, mereka tidak dapat tidak, akan bekerjasama dengan golongan minoriti Kristian Koptik yang membentuk sebahagian dari opulasi rakyat Mesir. Jika sebelum thawrah, rejim Mubarak sentiasa mewujudkan perasaan curiga dan juga permusuhan di antara IM dan juga golongan gereja Koptik, realiti yang baru menuntut satu kerangka yang baru di dalam hubungan tersebut, terutamanya di dalam ruang sosio-politik ekonomi. Pengalaman PAS di dalam ruang ini amat-amat berharga untuk dipelajari dan dikaji oleh IM. Konsep ‘PAS For All’ yang telah Berjaya melenyapkan prejudis sesetengah non-Muslim terhadap perjuangan PAS perlu dicontohi oleh IM.

Tidak pastilah samada perkara-perkara yang telah disebutkan ini disedari oleh PAS, namun mereka perlu bersikap pro-aktif di dalam hal tersebut. PAS perlu melihat semula diri mereka dengan sudut pandangan yang berbeza. PAS juga perlu membuang sindrom rendah diri di hadapan Syeikh-Syeikh Arab, terutamanya IM, semata-mata kerana mereka Arab atau semata-mata kerana mereka adalah ‘Ikhwan’. PAS perlu keluar kepompong rendah diri ini, dan mula berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah untuk saling belajar dan bertukar-tukar pengalaman. Tidak keterlaluan juga jika dicadangkan bahawa sudah tiba masanya untuk PAS menjadi fasilitator kepada IM, malah juga kepada gerakan-gerakan Islam di dunia Arab yang bakal mengisikan ruang pasca-thawrah di Negara masing-masing.

Demi menjayakan proposal di atas, PAS perlu mempromosikan diri mereka dengan memperbanyakkan literasi dan lontaran ide mereka di dalam media global berbahasa Arab, seperti laman web al-Jazeera, al-Quds al-Arabi, akhbar al-Ahram, majalah al-Mujtama’, dan lain-lain media baru. Di samping itu, PAS juga perlu bersikap pro-aktif di dalam membuktikan kewujudan mereka dengan mengetengahkan berita, fikrah dan juga pandangan kritis mereka kepada dunia Arab dengan menerokai ruang forum bagi para pimpinan parti di stesyen-stesyen televisyen antarabangsa berbahasa Arab yang popular seperti al-Jazeera, al-Hiwar, al-Arabiyah, Iqra TV dan al-Risalah. Banyak pengalaman PAS yang berharga perlu diketahui dan dipelajari oleh gerakan Islam yang lain di bumi Arab.

Untuk tujuan tersebut, para pemimpin PAS perlulah mempunyai kemampuan untuk berbahasa Arab yang ‘standard’ dan mampu untuk mengetengahkan ide-ide PAS untuk audien antarabangsa dan lebih global. Di dalam hal ini, para pimpinan PAS, terutamanya para ulama harus melepasi zon ‘jaguh kampung’ untuk muncul sebagai ‘tokoh antarabangsa’ dan ‘para ideolog’ wacana gerakan Islam. Mungkin sudah tiba masa bagi para pimpinan ulama PAS kini untuk meneroka ruang yang serba mencabar ini dan meninggalkan zon selesa berceramah dan hanya menulis untuk ahli semata-mata. Para pimpinan ulama PAS perlu berani untuk meneroka pasaran global dan pengkajian luaran demi menempatkan diri mereka dan juga PAS di persada antarabangsa. Kualiti para pimpinan ‘ulama’ PAS seperti ini penting, agar mereka benar-benar bukan sahaja dilihat berkaliber, tetapi juga substantif dan berkualiti.

Demi menyikapi cabaran baru yang telah disebutkan itu, PAS perlu mempunyai sebuah pusat kajian yang khusus atau think tank untuk memasarkan PAS di rantau Arab dan juga dunia. Tugas ini hanya mampu dilakukan oleh mereka yang mempunyai penguasaan bahasa Arab yang mantap, pengetahuan mengenai politik timur tengah, budaya Arab dan juga jaringan yang kukuh dengan pihak media, akademik, serta aktor politik di timur tengah. Pusat kajian ini juga perlu terlibat aktif di dalam menterjemahkan literasi-literasi PAS dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris dan Arab untuk edaran antarabangsa. Sudah tentunya bukan sekadar IM yang berhak belajar dari PAS, malah gerakan-gerakan Islam lain juga. Sudah sampai juga masanya pengalaman-pengalaman PAS berkoalisi, mentadbir dan berpencak di dalam suasana politik Malaysia dihidangkan kepada warga dunia. Hanya dengan cara ini sahaja PAS boleh menyumbang kepada IM, gerakan Islam lain dan juga perjuangan Islam di dalam perubahan lanskap politik di rantau Arab. PAS perlu berjiwa lebih besar untuk bersama membawa perubahan bukan sahaja di tanah air, tetapi juga di peringkat antarabangsa…